Thursday 1 August 2013

PEMINAT KECAM TINDAKAN FARID KAMIL CUBA PUTUSKAN HUBUNGAN DIANA DANIELLE DAN NORSIAH!


PEMINAT TIDAK SETUJU TINDAKAN FARID KAMIL CUBA PUTUSKAN HUBUNGAN DIANA DANIELLE DAN NORSIAH! | Tindakan Farid Kamil yang menggesa ibu mentuanya, Norsiah Ramli, bersemuka dengannya terlebih dulu jika mahu bertemu anak serta cucunya kurang disenangi peminat.

Reaksi di laman sosial Facebook, semalam, menunjukkan rata-rata peminat tidak menyokong tindakan pelakon itu, walaupun sebahagiannya berpandangan sebaliknya.

Walaupun amanah menjaga isteri, Diana Danielle Danny Beeson, yang juga seorang aktres kini terpikul di bahu Farid, namun peminat berpendapat lelaki itu tidak wajar menggunakan kuasa sebagai suami bagi mengekang kasih sayang antara ibu dan anak.

Diana bersama Norsiah pada hari persandingannya. Gambar kecil, Farid Kamil.

Peminat dikenali sebagai Sufiah Hamzah Hungerford berkata, Farid harus berlaku adil terhadap ibu mentuanya. Apatah lagi Diana ialah anak tunggal Norsiah, justeru tidak wajar untuknya memutuskan hubungan mereka dua beranak.

“Farid harus faham dan bersikap adil terhadap ibu Diana, memandangkan isterinya anak tunggal. Kita bukan hanya berkahwin dengan pasangan tetapi seluruh ahli keluarga mereka. Jadi sikap saling memahami itu penting, jangan hanya memikirkan diri sendiri semata-mata. 

“Mentang-mentanglah syurga Diana terletak di bawah tapak kakinya, tidak bermakna Farid boleh menggunakan alasan itu sewenang-wenangnya untuk mengawal isteri. Jika dia benar-benar cintakan Diana, berikan ruang serta peluang kepada isteri dan mentuanya untuk bersemuka. Rumah tangga akan lebih berkat jika kita mengalah dengan mentua,” komen Sufiah.

Hak Farid lindungi keluarga

Fairuzah CT Hawa dan Resma Mokhtar pula masing-masing berkeyakinan, Farid mempunyai alasan tertentu apabila mengambil tindakan sedemikian.

“Farid berhak melindungi isteri dan anaknya kerana dia ketua keluarga. Kenapa ibu Diana membenarkan mereka berkahwin jika tidak merestui hubungan berkenaan?” soal Resma. 

Namun peminat dikenali sebagai Sally Rashid tidak bersetuju dengan tindakan Diana, yang dikatakan terlalu mengikut kata suami.

“Buruk-buruk seorang ibu, esok lusa jika dilanda masalah, dia juga yang kita cari. Lebih-lebih orang perempuan,” komen Sally. 

Manakala Shah Remy berpendapat, tindakan Farid yang juga pengarah filem membuka pekung di dada sebagai langkah yang silap. Dia juga tidak bersetuju dengan tindakan lelaki itu yang cuba ‘merampas’ Diana sepenuhnya daripada ibu kandungnya.

Norsiah enggan komen 

Pendedahan terbuka Farid, seperti disiarkan muka depan HIP, semalam, mengenai hubungan dingin dengan ibu mentuanya ternyata cukup mengejutkan.

Farid yang berkahwin dengan Diana pada November tahun lalu, dan menimang cahaya mata lelaki pada 2 Julai, menghalang Norsiah daripada bertemu isteri dan anaknya. Tegasnya, Norsiah perlu menyelesaikan beberapa perkara dengannya terlebih dulu sebelum boleh menjenguk Diana dan anak mereka.

Sementara itu, Norsiah yang dihubungi HIP semalam memilih untuk tidak mengulas kenyataan menantunya. Sebaliknya, dalam khidmat pesanan ringkas yang dikirimkan dia hanya berkata: “Salam pada semua yang ingatkan Mama.”

No comments:

Post a Comment