KAJANG – “Saya tak dapat bayangkan macam mana besarnya cabaran selepas dibebaskan ini, maklumlah dekat 30 tahun terkurung dalam penjara, tetapi saya bersyukur sangat-sangat kepada Allah dan berterima kasih sungguh kepada Sultan Johor di atas pengampunan ini”.
Hanya itu yang mampu dilafazkan Mel (bukan nama sebenar), 58, salah seorang daripada lapan orang banduan yang dibebaskan setelah mendapat pengampunan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim sempena bulan Ramadan pagi tadi.
Mel ditangkap setelah terlibat dalam kes senjata api dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hayat sejak tahun 1982 lagi.
Sejak itu, Mel sudah beberapa kali membuat rayuan untuk dibebaskan namun semuanya hampa.
Namun kira-kira tiga bulan lepas, dia mendapat khabar gembira yang dia akan dibebaskan daripada menjalani hukuman tersebut.
” Nak tahu lama tak lama saya kat penjara…waktu saya masuk ke ‘dalam’, stesen televisyen TV3 pun tak wujud lagi,” katanya sambil tersenyum.
Begitupun Mel beruntung kerana walaupun sebegitu lama bergelar banduan, tetapi dia langsung tidak pernah dipinggirkan oleh keluarganya.
Malah sewaktu pembebasannya pagi tadi, ramai ahli keluarganya yang hadir menyebabkan suasana menjadi pilu seketika apabila kesemuanya memeluk erat Mel yang segak berbaju Melayu serta lengkap bersampin.
Turut hadir sewaktu pembebasan tersebut adalah Timbalan Pengarah Penjara Kajang, Adnan Atan dan Ketua Unit Perhubungan Awam Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Supri Hashim.
Namun perasaan gembira bercampur hiba menyelubungi Pak Din (bukan nama sebenar) apabila dia hanya mampu menitiskan airmata kerana tiada ahli keluarga yang datang menyambut pembebasannya itu.
” Saya orang Indonesia, keluarga saya jauh…kali terakhir mereka melawat saya pun kira-kira 15 tahun lepas, tidak mengapalah, saya tak mahu menyusahkan sesiapa.
” Namun saya bersyukur kerana walaupun saya bukan orang Malaysia, tetapi Sultan Ibrahim masih sudi untuk memberi pengampunan kepada saya, ini menunjukkan Tuanku tidak pernah membeza-bezakan kami para banduan yang ditahan di sini,” katanya sambil menitiskan airmata terharu.
Baru-baru ini Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan penuh dan perintah pembebasan terhadap lapan orang banduan.
Sultan Ibrahim turut berkenan meringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara terhadap empat banduan dan memberi pengampunan kepada seorang lelaki yang disabitkan kesalahan ketika berumur 18 tahun pada 1985 untuk membersihkan namanya daripada rekod sabitan kesalahan.
Pada 19 Januari lalu, Sultan Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor.
Atas nasihat daripada anggota Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Peguam Negara dan mempertimbang semua aspek seperti kesalahan banduan, tempoh hukuman yang dijalani serta pemulihan yang dicapai oleh banduan, maka Sultan Ibrahim dengan limpah kurnia dan perkenannya telah mempertimbangkan pembebasan dan meringankan hukuman kesemua banduan yang terlibat
Lembaga Pengampunan Negeri Johor itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail serta tiga anggota lembaga pengampunan iaitu Datuk Law Boon King, Datuk Rashidi Mohd Noor dan Datuk Dr M.Harjit Singh.
Daripada lapan banduan yang akan dibebaskan pada 1 Ramadan itu, seorang daripadanya, Sapuan Hanin, 58, adalah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 manakala tujuh yang lain yang berumur 41 hingga 63 tahun, adalah banduan di bawah kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Sapuan telah menjalani hukuman 24 tahun penjara sejak 1987 atas kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.
Tujuh yang lain pula, katanya, dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat dan telah menjalani hukuman penjara antara 22 dan 37 tahun serta dikenakan antara enam dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan memiliki senjata api.
Empat banduan yang diringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara pula adalah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 iaitu yang terlibat dengan kes pengedaran dadah dan bunuh.
Tiga daripada mereka yang berumur 36 hingga 41 tahun dan telah menjalani hukuman penjara antara lapan dan 14 tahun, diperkenan diringankan hukuman penjara sepanjang hayat (tiada tarikh bebas) manakala seorang lagi yang berumur 57 tahun, yang telah menjalani hukuman 16 tahun penjara, diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup (20 tahun),” katanya.
No comments:
Post a Comment